Sabtu, 1 September 2012

Adakah Anak-Anak Kita Makan Dengan Betul?

Posted by ADMIN On 12:47 PTG No comments

Adakah Anak-Anak Kita Makan Dengan Betul?


Adakah Anak-Anak Kita Makan Dengan Betul?

 Adakah anda biasa dengan senario ini?

Kasim suka snek manis
Kasim, 7 tahun, berlebihan berat badan untuk umurnya. Apabila terasa lapar antara waktu makan, dia mengambil coklat dan snek manis. Ibu bapanya khuatir kerana dia sudah mula bersekolah dan mereka tidak dapat mengawalnya daripada mengambil snek yang tidak sihat di kantin sekolah.

Sara yang ingin jaga imej badan
Ibu Sara mengejutkannya setiap pagi hanya 20 minit sebelum loceng sekolah berbunyi. Justeru, Sara yang berusia 12 tahun ini selalu kelam kabut dan tidak sempat mengambil sarapan. Sara memang tidak berminat untuk bersarapan kerana dia sudah mula mementingkan penampilan diri dan ingin menjaga imej badan.

Kumar sentiasa sibuk
Kumar, 10 tahun, kurang bersenam kerana dia sentiasa sibuk. Sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan UPSR, ibu bapanya mendaftarkan Kumar dalam pelbagai kelas tuisyen selepas waktu sekolah. Kumar menghabiskan masa lapangnya dengan bermain komputer untuk merehatkan fikirannya. Apabila ibunya berleter, dia menjawab: “Takkan tak boleh main sekejap pun. Bosanlah kalau belajar sepanjang masa.”


Anak-anak anda yang sudah bersekolah mungkin menghadapi masalah yang sama seperti Kasim, Sara dan Kumar. Ini adalah masalah yang biasa dihadapi oleh ramai kanak-kanak dan ibu bapa mereka. Apabila ini berlaku, waktu makan yang sepatutnya menyeronokkan bagi ibu bapa dan anak-anak, akan bertukar menjadi keadaan yang merimaskan.


Mengasuh anak-anak makan dengan betul
Sebagai ibu bapa, banyak yang anda boleh lakukan untuk menyemaikan tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda. Anda yang menentukan apa yang perlu dimasak dan dihidangkan untuk keluarga anda. Ini adalah kerana anda merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan mereka, dan paling layak untuk menggalakkan tabiat makan yang sihat.

Lebih penting lagi, anda berpeluang untuk menunjukkan teladan yang baik. Anak-anak menganggap anda sebagai suri teladan. Lantaran itu, anda boleh memainkan peranan paling berkesan dalam usaha melentur anak-anak dan membiasakan mereka dengan tabiat makan yang sihat, baik di rumah mahu pun di luar. Setelah menerapkan amalan ini dalam diri mereka, anda tidak perlu lagi bimbang tentang kemungkinan mereka membuat pilihan makanan yang salah.

Malangnya, masih terdapat ramai ibu bapa di Malaysia yang tidak berusaha untuk memberi anak-anak mereka makanan yang berkhasiat dan menanamkan tabiat makan yang baik sejak mereka kecil, atau apabila mereka mula bersekolah.

Adakah kanak-kanak Malaysia mengalami masalah pemakanan?
Kebanyakan kanak-kanak Malaysia mendapat makanan yang secukupnya. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga ramai kanak-kanak yang mungkin mengalami masalah malpemakanan. Masalah ini timbul sama ada disebabkan mereka tidak mendapat kalori dan nutrien secukupnya atau mereka mengambil makanan secara berlebihan. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) III yang dijalankan di seluruh negara pada 2006, satu daripada lima kanak-kanak kita mengalami masalah pemakanan, dengan berat badan dan ketinggian yang tidak sepadan dengan usia mereka.

  • Makan secara berlebihan
Kumpulan kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan adalah mereka yang berumur antara 7 hingga 13 tahun. Kanak-kanak yang makan secara berlebihan akan menjadi gemuk apabila dewasa. Kajian menunjukkan bahawa keadaan ini boleh meningkatkan risiko mereka menghidap penyakit seperti diabetes (kencing manis) dan hipertensi (tekanan tinggi) apabila usia mereka meningkat. Berlebihan berat badan atau kegemukan juga menyebabkan mereka menjadi lebih prihatin terhadap penampilan diri dan boleh menimbulkan perasaan rendah diri.

  • Kekurangan zat makanan 
Kanak-kanak dianggap kurang mendapat zat makanan apabila mereka tidak mendapat cukup tenaga daripada makanan. Ini juga boleh mengakibatkan kekurangan pengambilan pelbagai nutrien penting. Kanak-kanak ini lebih mudah mendapat jangkitan dan selalunya tidak mencapai potensi pertumbuhan yang optimum.

Mengapa kanak-kanak mengalami masalah pemakanan?
Rakyat Malaysia boleh dikatakan hidup senang dan dimanjakan dengan banyak pilihan makanan. Jadi, mengapa masih ramai kanak-kanak kita yang mengalami masalah pemakanan? Sebab utama ialah tabiat makan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang tidak seimbang. Ini berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang pemakanan di kalangan ibu bapa, dan juga kekurangan perhatian dan penjagaan ibu bapa.

Satu kajian yang dijalankan dua tahun lepas oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas lebih 9,000 murid sekolah rendah berumur 7-12 tahun menunjukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Hasil kajian itu juga menunjukkan:

1.    Tidak mengambil sarapan
Satu dalam setiap tiga murid sekolah rendah tidak mengambil sarapan. Apabila anak-anak anda tidak mengambil sajian pertama yang penting dalam sehari, mereka tidak mendapat cukup tenaga untuk membolehkan mereka cerdas dan memberi tumpuan dalam kelas. Mereka juga menjadi lesu dan mudah merasa letih.

 2.    Snek tidak sihat
Empat daripada sepuluh murid sekolah rendah mengambil snek setiap hari. Tabiat makan snek yang tidak sihat, sama ada mengambil snek terlalu hampir dengan waktu makan atau mengambil snek dengan kalori tinggi dan nutrien rendah seperti kentang goreng, coklat dan gula-gula, boleh mengganggu selera anak-anak untuk makan sajian yang sihat apabila tiba waktu makan.

 3.    Gaya hidup santai dan kurang aktiviti fizikal
Dua daripada lima murid sekolah rendah tidak aktif. Semakin ramai kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti santai seperti menonton televisyen, membaca, dan leka dengan permainan komputer/elektronik. Tiada perbezaan besar antara kanak-kanak bandar dan luar bandar.

Permulaan hari yang sihat
Jika anak anda cerewet makan, langkah pertama ialah kenal pasti punca masalah. Adakah mereka tidak mengambil sarapan? Kurang aktiviti fizikal atau kerap makan snek? Apabila sudah mengenal pasti puncanya, anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk menangani masalah ini.

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang sangat penting untuk memperkasakan diri anda sendiri, supaya anda dapat menanamkan tabiat makan yang sihat di kalangan anak anda sejak kecil. Pelajari asas pemakanan yang baik dan turunkan pengetahuan ini kepada anak-anak anda.

Ajar anak anda memilih makanan mereka dengan bijak, serta mengamalkan tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif sejak kecil. Ini akan memastikan mereka mempunyai asas yang kuat untuk membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang sihat sepanjang hayat.


Rencana ini dibawakan kepada anda oleh Jawatankuasa Pemandu Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) Kebangsaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan