Memperkasakan Anak Anda Yang Bersekolah
Memperkasakan Anak Anda Yang Bersekolah
Sewaktu
anak-anak anda mula menyesuaikan diri dengan kehidupan di sekolah dan
semakin rapat dengan rakan barunya, anda mungkin menyedari perubahan
dalam pilihan makanan dan tabiat makannya. Sebagai contoh, mereka
mungkin enggan makan, makan terlalu sedikit atau banyak makan makanan
ringan yang kurang berkhasiat.
Mungkin
anda tidak menyedarinya, tetapi perubahan ini berpunca daripada lebih
kebebasan dan berdikari yang dirasai oleh kanak-kanak yang baru memasuki
alam persekolahan. Ramai ibu bapa merasakan bahawa oleh kerana
anak-anak mereka sudah cukup ‘besar’ untuk pergi ke sekolah, mereka juga
telah cukup matang untuk memilih makanan sendiri. Di sinilah punca
permulaan masalah.
Bermula dari rumah
Anak-anak
yang bersekolah berada dalam peringkat umur yang mudah dipengaruhi.
Mereka meluangkan lebih banyak masa bersama rakan di sekolah dan
terlibat dalam aktiviti di luar kurikulum. TV dan komputer menjadi teman
setia apabila mereka pulang ke rumah. Besar kemungkinan inilah sumber
utama yang mempengaruhi mereka, tetapi bukan orang yang paling penting
dalam hidup mereka pada masa ini – iaitu anda.
Namun
demikian, anak anda masih menjadikan anda sebagai suri teladan mereka.
Gunakan kelebihan ini untuk mengajar mereka di rumah tentang kebaikan
dan khasiat pemakanan, tabiat makan yang sihat, dan aktif dalam aktiviti
fizikal. Dengan berbuat demikian, anda akan mempengaruhi pilihan
makanan mereka apabila mereka berada di luar. Lebih penting lagi, anda
juga mempengaruhi pilihan makanan mereka pada masa hadapan.
Anda boleh memperkasakan anak-anak anda untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal makanan dengan:
1. Memperkasakan diri anda
Dapatkan
nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor keluarga anda bagi
memperkasakan diri anda dengan pengetahuan mengenai asas pemakanan yang
sihat dan cara terbaik untuk memberi anak anda makan. Anda juga boleh
membaca tentang pemakanan yang sihat untuk melengkapkan diri anda dengan
maklumat yang betul. Anda akan lebih berkeupayaan untuk mengajar dan
memperkasakan anak-anak anda apabila anda sendiri yakin dengan
pengetahuan yang diperolehi.
2. Menjadi suri teladan
Oleh
kerana anak anda mudah terpengaruh, anda perlu berusaha untuk menjadi
contoh yang baik dalam soal pemakanan dan cara hidup yang sihat. Ini
termasuk mengamalkan tabiat makan yang baik, gaya hidup aktif dan
menjaga kebersihan diri. Sebagai contoh, apabila anda makan sayur,
pastikan anda tidak lupa untuk memberitahunya betapa lazat dan sihatnya
sayur yang anda makan. Besar kemungkinan anak anda akan mengikut jejak
anda dan mula makan sayur!
3. Mulakan dari kecil
Anda
perlu mula menyemai tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda sejak
mereka kecil. Mulakan dengan sesuatu yang mudah, tetapi penting. Sebagai
contoh, pastikan dia mengambil sarapan setiap pagi sebelum pergi ke
sekolah. Anda juga boleh menyediakan makanan dengan cara yang sihat
supaya dia boleh mengamalkan tabiat makan yang sihat sejak kecil. Atau,
anda boleh menjelaskan kepadanya tentang pentingnya makanan dan snek.
Beritahunya bahawa makanan harian ini akan bermanfaatkan kesihatan dan
akan membolehkannya membesar dan menjadi seorang kanak-kanak yang kuat
dan pintar. Ini akan meningkatkan kemungkinan anak untuk mengamalkan
tabiat makan yang sihat dan membuat pilihan makanan yang bijak bukan
sahaja di sekolah, tetapi juga sepanjang hayatnya.
4. Jangan putus asa!
Salah
satu cara penting untuk menyemai pengetahuan tentang pemakanan yang
baik ialah dengan bersabar. Jangan putus asa jika anak anda masih tidak
mahu makan sayuran walaupun sudah 5 kali diminta! Bersabarlah dan terus
mencuba lagi. Lama-kelamaan, selepas dipujuk, mereka pasti akan makan
sayur yang anda sediakan. Ini pasti merupakan satu kejayaan bagi anda
berdua!
Petua yang praktikal dan menyeronokkan
Semasa
berusaha untuk memperkasakan anak anda untuk membuat pilihan makanan
yang betul dan mengamalkan tabiat makan yang sihat, anda boleh
menggunakan cara yang menyeronokkan anak (dan anda juga). Pembelajaran
tentang pemakanan sihat tidak semestinya membosankan. Batasan yang
dihadapi adalah hanya imaginasi anda sendiri. Petua berikut sedikit
sebanyak dapat menjadikan pembelajaran tentang pemakanan lebih
menyeronokkan!
- Berbelanja bersama
Ini
adalah peluang baik untuk mendidik anak tentang makanan mentah, seperti
sayur-sayuran, supaya dia dapat mengenal bau dan teksturnya.
Kanak-kanak bersifat ingin tahu tentang segala-gala yang ada di
sekeliling mereka, dan ini lebih memudahkan anda untuk menerangkan
kebaikan makanan tertentu. Ajar mereka tentang khasiat kebaikan yang
disenaraikan pada bungkusan makanan. Contohnya, anda boleh mengambil
sekotak bijirin bijian penuh dan menerangkan tentang kebaikan kepada
kesihatan makanan seperti ini..
- Masak bersama
Sebagai
permulaan, anda boleh menyediakan sarapan bersama anak pada hujung
minggu. Peringkat usia sekolah rendah adalah paling sesuai untuk belajar
tentang pemakanan yang sihat, kerana mereka sentiasa berminat untuk
belajar perkara baru, lebih-lebih lagi mengenai makanan dan pemakanan.
Mereka juga berminat dan berupaya untuk membantu anda di dapur dengan
melakukan kerja yang mudah seperti membasuh buah-buahan atau memotong
sayur-sayuran. Mereka akan lebih berminat untuk merasa makanan yang
mereka sendiri sediakan kerana ini memberi peluang kepada mereka untuk
memberitahu seisi keluarga mengenainya!
- Makan bersama
Galakkan
keluarga anda untuk makan bersama setiap hari. Waktu makan adalah masa
paling baik untuk mengeratkan hubungan dengan anak anda, bertanya khabar
dan berkongsi aktiviti harian. Pastikan suasana pada waktu makan
bersama keluarga santai dan menyeronokkan. Anak anda akan lebih
berselera makan dalam suasana yang positif.
- Main bersama
Bermain
dengan anak adalah cara yang baik untuk anda sekeluarga melakukan
aktiviti fizikal. Anda boleh membawa mereka ke padang atau taman
permainan dan menggunakan kemudahan yang terdapat di sana. Anda juga
boleh menggalakkan mereka menyertai permainan berkumpulan seperti
badminton. Bersiar-siar bersama keluarga seperti berkelah atau berjoging
juga dapat merangsang kecergasan mental dan fizikal!
- Berkomunikasi bersama
Sentiasa
luangkan masa untuk berbual dan mendengar rintihan atau luahan hati
anak anda. Anda boleh bertanya tentang makanan yang dimakan oleh rakan
sekelasnya, sama ada dia suka makanan seperti itu atau gemar menyertai
sesi pembelajaran fizikal di sekolah. Perbualan tidak semestinya
mengenai makanan. Anda boleh berbual tentang banyak perkara lain yang
dapat merapatkan hubungan anda dengannya. Ingatlah, komunikasi mesti dua
hala… jadi, beri peluang kepada anak untuk bercakap!
Keputusan
untuk mula mendidik anak anda tentang pemakanan yang sihat bermula
dengan anda. Ingatlah, anda hanya mempunyai masa yang singkat untuk
berbuat demikian kerana anak anda membesar dengan cepat. Anak anda
memerlukan pemakanan yang sempurna sekarang. Jadi, mulakan hari ini…
beri mereka makanan yang betul, ajar mereka tentang makanan yang baik
dan tanamkan rasa cinta terhadap aktiviti fizikal.
Rencana ini dibawakan kepada anda oleh Jawatankuasa Pemandu Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) Kebangsaan.