Bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kurnia serta rahmatNya kepada kita, maka kita dapat melaksanakan segala tugas yang diamanahkan.
Guru-guru,kakitangan dan pelajar-pelajar sekalian,
Sebenarnya sebagai seorang pendidik, tanggungjawab yang telah diamanahkan memanglah amat berat. Semua pihak akan memerhatikan kita setiap masa. Jika baik yang dilakukan, maka pujianlah yang akan diterima, begitu juga sebaliknya. Tetapi janganlah perkara ini kita jadikan alasan untuk tidak mahu berusaha bagi memajukan diri dan sekolah kita.
Saya sebagai ketua pentadbir sekolah ini sungguh terhutang budi dan berterimakasih kepada semua GPK yang merupakan nadi penggerak kejayaan sekolah, guru-guru yang sentiasa peka dan sanggup memberi sebarang pertolongan pada bila-bila masa, kakitangan yang sama-sama berganding bahu menceriakan kawasan sekolah serta pelajar-pelajar yang sentiasa akur dengan peraturan sekolah.
Kita boleh berbangga dengan kejayaan yang ada tetapi kita tidak boleh lupa dengan tanggungjawab kita seterusnya. Dunia akan melangkah ke alaf baru, abad 21. Kita harus menyediakan anak-anak kita dengan cabaran-cabaran yang bakal ditempuh. Anak-anak kita harus mempunyai pegangan agama yang teguh dengan itu mereka akan merupakan insan yang tahan cabaran, berdaya juang, berdaya saing, merdeka minda, celik sains dan teknologi serta celik IT.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang diPertua PIBG dan anggota jawatankuasanya yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada program-program sekolah. Dan juga tidak lupa kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu dan kerjasama yang erat dalam membawa sekolah ini ke arah kecemerlangan.
0 ulasan:
Catat Ulasan