Khamis, 11 Ogos 2011

BULAN KEMERDEKAAN

Posted by ADMIN On 12:25 PTG

MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengulukan seruan Merdeka! pada 31 Ogos 1957

         Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

        Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. 


        Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.


Stadium Merdeka
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. 

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.


 PENGISTIHARAN KEMERDEKAAN

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 


7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam. 


9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak. 


Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. 


Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke. 


Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu. 


Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci. 

Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Bendera Malaysia buat pertama kali di naikkan pada 31 Ogos 1957

Allahyarham Mohamed Hamzah, pencipta bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera Malaysia dicipta pada 1947.

 Perdana Menteri Malaysia yang pertama - BAPA KEMERDEJAAN


 
ALLAHYARHAM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIMSHAH
( 1957 - 1970)

 Bendera Malaysia


 
Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


 Nama Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang.Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.


GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Jalur Gemilang


Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua
(2x) Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
Jalur Gemilang!



Ciptaan dan Senikata: Pak Ngah & Siso Kopratasa



 
Disediakan oleh : Pn. Norzalifah Binti Ibrahim